‘Happy’ tiap hari layan si manja ‘Kelaik’

‘Happy’ tiap hari layan si manja ‘Kelaik’

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

TEMERLOH: “Hati saya terhibur setiap hari sejak lapan bulan ditugaskan menjaga ‘Kelaik’, anak gajah betina yang ditempatkan dalam kurungan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang. 

“Manja, nakal dan suka bergurau perangai yang ada pada haiwan berkenaan membuatkan saya begitu menyayanginya,” kata Pembantu Hidupan Liar, Nur Karimah Kamaluddin, 32.

Menurutnya, rutin harian menjaga anak gajah berusia sembilan bulan itu ialah memberi minum susu susu khas dicampur dengan roti dan sejenis gula merah lima kali sehari. 

TEMERLOH..
Nur Karimah Kamaluddin (kiri) dan Aslinda Mahamed memberi ‘Kelaik’ minum susu di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang.

Selain itu, katanya, air buah-buahan seperti tembikai dan betik juga diberikan sebagai makanan tambahan.

Katanya, ‘Kelaik’ yang ditinggalkan ibunya memerlukan kasih sayang dan tempat bermanja, sebagai penjaga dia perlu sentiasa memberi perhatian supaya haiwan berkenaan dapat membesar dengan sempurna dan tidak berlaku masalah kesihatan.

“Untuk membentuk kemesraan dengan ‘Kelaik’, saya sentiasa bercakap dengannya terutama ketika memberi susu dan makan buah. Walaupun tidak memahami sepenuhnya namun sekurang-kurangnya ia dapat mengenali suara penjaganya.

“Untuk mengurangkan tekanan setiap hari anak gajah berkenaan dibawa berjalan dan mandi di sungai. kemesraan saya dengan ‘Kelaik’ menjadi semakin ketara seolah seperti anak dengan ibu,” katanya yang menetap di Kampung Bolok, Temerloh. 

Beliau berkata, dia dan rakannya, Aslinda Mahamed, 42, ditugaskan sepenuhnya menjaga anak gajah berkenaan yang ditemui di Kampung Orang Asli Kelaik, Gua Musang, Kelantan selepas ditinggalkan kumpulanya, tahun lalu.

Nur Karimah menambah, dia pernah terjatuh apabila ‘Kelaik’ bergurau dengan cara melanggarnya dari belakang. 

Menurutnya, perangai haiwan berkenaan seperti kanak-kanak dan kadangkala merajuk, marah dan makan perlu disuap.

“Botol khas digunakan untuk memberi ‘Kelaik’ minum susu. Saya perlu menyuapnya yang mengambil masa antara dua hingga empat minit bagi sebotol susu 2.5 liter.

“Aktiviti lain yang perlu saya lakukan setiap hari ialah mencuci kandang anak gajah berkenaan termasuk beberapa kandang lain,” katanya yang lebih 12 tahun bertugas di PKGK Kuala Gandah Lanchang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *