Majikan jangan arah pekerja dari kawasan PKPD datang kerja

Majikan jangan arah pekerja dari kawasan PKPD datang kerja

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Majikan termasuk dalam sektor perkhidmatan penting (essential services) perlu mempertimbangkan untuk tidak mengarahkan pekerja yang mendiami kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya hadir bekerja.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan pergerakan penduduk di tiga belas lokaliti yang dikenakan PKPD dua minggu, bermula hari ini.

KUANTAN… Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Mohamad Noor Yusof Ali (kiri) menyertai Sekatan Jalan Raya (SJR) Tanjung Lumpur sempena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), malam tadi.

“Bagi 13 lokaliti terbabit, hanya pekerja sektor keselamatan dan kesihatan yang dibenarkan bergerak keluar atau masuk kawasan PKPD tanpa perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.

“Pekerja di sektor lain termasuk yang dikategorikan sebagai sektor penting tidak boleh bergerak kecuali dengan kebenaran Ketua Polis Daerah dan Pegawai Kesihatan Daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai pelaksanaan PKPD kepada anggota yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR), di Tanjung Lumpur, di sini, malam tadi.

Mohamad Noor berkata, majikan juga perlu menentukan jumlah pekerja yang sesuai bagi menjalankan operasi mereka.

“Lebih baik sekiranya majikan boleh mempertimbangkan pekerja mereka yang mendiami kawasan PKPD untuk bekerja dari rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, majikan boleh datang ke balai polis untuk membuat semakan dan memohon kebenaran sekiranya terpaksa memanggil pekerja terbabit hadir ke tempat kerja.

“Walaupun dibenarkan untuk kelulusan pihak polis namun saya telah memberi arahan kepada pegawai dan anggota di bahagian pengurusan permit supaya lebih teliti dan memastikan bahawa kelulusan ini adalah untuk yang sepatutnya sahaja,” katanya.

Antara tiga belas lokaliti dikenakan PKPD, termasuk Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sungai Derhaka, Kempadang, Sungai Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas, Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *