Pelajar UMP tepilih wakili negara di Pertandingan Bahasa Mandarin Peringkat Antarabangsa

Pelajar UMP tepilih wakili negara di Pertandingan Bahasa Mandarin Peringkat Antarabangsa

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pelajar Fakulti Komputeran Universiti Malaysia Pahang (UMP), Syahirah Syazwani Shamsudin bakal mewakili negara dalam pertandingan bahasa Mandarin, ‘Chinese Bridge’ peringkat antarabangsa, hujung tahun ini.

Ia susulan kejayaan pelajar berkenaan memperoleh tempat pertama dalam pertandingan sama di peringkat kebangsaan anjuran Kedutaan China dengan kerjasama Institut Kongzi Universiti Malaya, baru-baru ini.

Pengarah Institut Konfusius UMP (CI UMP) Yong Ying Mei berkata, pertandingan Chinese Bridge ialah pertandingan tahunan antarabangsa dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan China.

“Pertandingan yang diadakan secara dalam talian ini dinilai dari segi ujian, persembahan, soal jawab dan pengucapan awam.

“Syahirah bakal berentap bersama calon lain yang mempelajari bahasa Mandarin sebagai bahasa asing dari benua Asia, Eropah, Afrika, Amerika dan Australia dalam pertandingan itu nanti,” katanya, hari ini.

Yong berkata, penyertaan kali ini adalah yang kedua daripada pelajar UMP dalam pertandingan terbabit selepas kejayaan pelajar Fakulti Komputeran, Jamunaa Patchappan yang mewakili negara pada tahun 2013.

“Pihak CI UMP akan terus melatih pelajar dalam persediaan Pertandingan Chinese Bridge di peringkat antarabangsa.

“Walaupun berdepan pandemik COVID-19, ia tidak menghalang program dijalankan secara dalam talian dan menyampaikan persembahan terbaik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menghargai sokongan pihak universiti terhadap pembabitan pelajar dalam pertandingan bahasa sama ada di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa.

“Pelajar pernah dilatih oleh Sukarelawan Guru Bahasa (VLT) serta sokongan Pengarah CI UMP (China), Profesor Dr Guo Fuliang,” katanya.

Tambahnya, kewujudan CI UMP berjaya memanfaatkan pelajar UMP dalam meningkatkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Mandarin malah mampu memahami budaya masyarakat Cina melalui penganjuran aktiviti, pertandingan Bahasa Mandarin, pameran kebudayaan, program mobiliti dan program kerjasama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *