Upacara pengebumian cetus kluster baharu

Upacara pengebumian cetus kluster baharu

Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Upacara pengebumian yang dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung di Pos Iskandar dekat Bera pada 8 Julai lalu mencetuskan satu kluster baharu, kata Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah, hari ini.

Beliau berkata, kluster terbabit dikenali Kluster Pos Iskandar, merujuk kepada lokaliti disyaki berlaku penyebaran wabak iaitu di tiga kampung di kawasan berkenaan.

“Kes indeks adalah seorang lelaki rakyat tempatan disahkan positif COVID-19 pada 3 Julai lalu.

“Terdapat kematian berlaku di hadapan rumah kes indeks pada 8 Julai di mana keluarga kes indeks pergi menghadiri serta menguruskan gotong royong upacara pengebumian yang turut dihadiri ramai penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama terdapat tiga individu yang pulang ke Pos Iskandar dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bentong didapati positif COVID-19 pada 11 dan 14 Julai lalu.

“Tiga individu terbabit membuat saringan kerana menjadi kontak rapat ketika aktiviti majlis pengebumian dan hasil saringanmendapati 23 lagi kes positif COVID-19 menyebabkan pengesanan kes secara aktif dilaksanakan.

“Seramai 221 individu disaring dan 36 individu didapati positif dalam kluster ini, malah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pos Iskandar diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Bahari menjelaskan, sebanyak 369 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Pahang kini mencecah 18,473 kes.

“Berdasarkan jumlah kes baharu didaftarkan hari ini, sebanyak 305 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 64 kes lagi adalah warga asing.

“Dukacita dimaklumkan terdapat enam kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 207 kes,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *