Saya jual rotan siap proses ni 10 sen aje, kata Rozita

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

MARAN: “Rotan yang biasanya digunakan guru untuk mengajar ini sumber rezeki saya sekeluarga,” kata wanita Orang Asli, Rozita Yusof, 50.

Dia yang menetap di Kampung Orang Asli Merbau, di sini, berkata setiap bulan dirinya mampu membekalkan antara 3,000 hingga 10,000 rotan jenis sega mas kepada seorang pemborong di Ipoh, Perak, yang datang mengambil di kampungnya.

Menurutnya, bagi mendapatkan rotan dia perlu masuk ke hutan terletak 15 hingga 30 kilometer daripada rumahnya dan rotan sega mas itu banyak tumbuh di tepi Sungai Pahang dan kawasan berpaya.

Katanya, dia biasanya ditemani anaknya ke hutan untuk mencari rotan dan proses mendapatkan tumbuhan berduri itu bukan mudah. 

“Proses mencuci, membuang kulit mati dan memotong mengikut saiz sepanjang setengah depa orang dewasa seperti yang dikehendaki pemborong. Semua dilakukan rumah. Kemudian proses menjalin dilakukan.

“Rotan kemudian perlu dijemur hingga kering bagi mengelak mudah rosak. Tempoh diambil untuk menjemur adalah antara dua hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya. 

MARAN ..proses menjemur rotan dilakukan antara dua hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca.

Menurut nenek kepada lapan cucu itu, dia melakukan kerja mencari rotan sejak 20 tahun lalu, sebagai sumber pendapatan tambahan. 

Katanya, permintaan rotan tidak menentu bergantung kepada pemborong yang akan menghubunginya apabila inginkan bahan berkenaan.

Rozita berkata, pekerjaan utamanya adalah menoreh getah. 

“Saya menjual rotan yang siap diproses hanya 10 sen sebatang. Walaupun harganya rendah namun ia dapat menampung pendapatan keluarga yang kini tinggal bersama.

“Tapi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sudah berlarutan sekian lama, saya kini sukar untuk memasarkan rotan yang siap diproses. Pemborong tidak dapat datang mengambilnya.

“Saya kini menyimpan lebih 5,000 rotan siap diproses, apabila kebenaran merentas negeri boleh dilakukan mungkin pemborong akan datang mengambil rotan saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *