HSK Batu Talam disulami pokok tampoi, sentul dan ara

HSK Batu Talam disulami pokok tampoi, sentul dan ara

Oleh Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

RAUB: Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat menanam sekurang-kurangnya 610 pokok nadir spesies tampoi dan sentul di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram sebelum ini.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata selain itu pihaknya akan menanam pokok jenis ara yang turut sesuai di kawasan berkenaan.

RAUB..Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam pokok sentul dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang diceroboh sebelum ini.

Katanya, pokok ara akan ditanam di kawasan lembah dan tepi sumber air kerana pokok spesies berkenaan memerlukan lebih air untuk membesar dan subur. 

Menurutnya, 200 sentul dan 410 pokok tampoi berumur antara enam bulan hingga setahun sudah ditanam secara berselerak. 

“Saya yakin dua spesies pokok nadir berkenaan mampu hidup subur di kawasan terbabit yang persekitarannya agak sejuk, berangin dan subur,” katanya. 

Sementara itu, katanya, pihaknya sudah menanam 12,295 pelbagai spesies pokok hutan dalam kawasan HSK Batu Talam yang sebelum ini diteroka secara haram. 

“Kita hanya cuti sehari untuk menyambut Aidiladha. Kerja menanam akan disambung semula membabitkan penyertaan antara 60 hingga 75 kakitangan JPNP daripada beberapa Pejabat Hutan Daerah (PHD),” katanya. 

Program menanam pokok kira-kira 20,000 pokok terdiri daripada jenis merawan, meranti, balau dan keruing akan dilakukan hingga selesai dalam kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *