Vaksinasi di SASMEC @IIUM capai lebih 80% pada hari pertama

Vaksinasi di SASMEC @IIUM capai lebih 80% pada hari pertama

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lancar melakukan proses vaksinasi ke atas warga emas pada hari pertama beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT di Dewan Utama UIAM, Kampus Kuantan, di sini, semalam. 

Ketua Penyelaras, Prof Madya Dr Razman Mohd Rus, berkata 1,381 warga emas disenaraikan dan daripada jumlah itu, 802 individu atau lebih 80 peratus hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin. 

Menurutnya, setiap hari kira-kira seribu individu akan menerima vaksin seperti yang dikehendaki oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Dr Razman berkata, warga emas paling tua hadir bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 adalah berusia 97 tahun dan dia datang ditemani ahli keluarga.

Menurutnya, ramai di kalangan warga emas yang hadir mengalami masalah kesihatan termasuk tidak dapat berjalan. 

“Untuk membantu melancarkan lagi proses pemberian vaksin pihaknya menyediakan kira-kira 40 kerusi roda. 

“Kita turut menyediakan dua unit buggy bagi mengambil dan menghantar warga emas ke kawasan letak kenderaan,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, proses pemberian vaksin berjalan lancar apabila mendapat kerjasama yang baik penerima vaksin dan pengiring terdiri daripada ahli keluarga mereka.

“Kita mempunyai 184 petugas kesihatan dan bukan kesihatan. Turut terbabit 136 sukarelawan terdiri daripada penuntut UIAM kampus Kuantan,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *