Kes baharu COVID-19 di Pahang melonjak kepada 603 kes

Kes baharu COVID-19 di Pahang melonjak kepada 603 kes

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kes baharu COVID-19 di Pahang melonjak drastik kepada 603 kes hari ini, paling tinggi sejak pandemik itu melanda sekali gus menjadikan kes keseluruhan di negeri ini sebanyak 19,839 kes.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan hari ini, sebanyak 571 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 32 kes lagi warga asing.

“Daripada jumlah kes baharu itu,  250 kes adalah di Kuantan, diikuti Temerloh (119 kes), Bentong (73 kes), Bera (53 kes), Lipis (45 kes), Jerantut (28 kes), Raub (26 kes), Pekan (lima kes) dan masing-masing dua kes di Maran dan Rompin. 

“Dukacita dimaklumkan terdapat lima kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 220 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat satu kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Nabun yang mula dilaporkan pada Isnin di Lipis manakala nama kluster merujuk kepada tempat berlakunya kluster ini iaitu di Kampung Melayu Nabun, Benta, Lipis.

“Kes indeks adalah pemandu lori persendirian yang mengangkut minyak diesel dan menghantar ke kawasan di sekitar daerah Raub dan Lipis. 

“Kluster ini dikesan hasil saringan bergejala isteri kepada kes indeks dan wanita terbabit hanyalah seorang suri rumah dan tidak mempunyai sejarah pergerakan keluar daerah,” katanya.

“Wanita itu kemudiannya membuat ujian COVID-19 di klinik kesihatan pada 16 Julai lalu dan disahkan positif manakala keluarga kes seramai lima orang turut disaring pada hari yang sama. Seramai 25 orang disaring dan 21 daripadanya dikesan positif COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Bahari berkata, semua daerah di Pahang kini berada dalam zon merah dan setakat jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 2,400 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan tujuh Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini.

“Sebanyak 678 kes berada dalam pengawasan di rumah dan berdasarkan jumlah ini, terdapat 36 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 24 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan 12 lagi di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dengan 27 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *