Sebanyak 200 kelapa sawit haram dimusnahkan

Sebanyak 200 kelapa sawit haram dimusnahkan

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran mengadakan Op Cincang bagi memusnahkan lebih 200 kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Lepar, di sini hari ini.

Difahamkan, pokok berusia antara lima hingga tujuh bulan itu ditanam di atas bekas kawasan matau atau pusat pengumpulan balak di kompatmen 37 membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.78 hektar.

KUANTAN..
Penolong Pemelihara Hutan, Norsusilawati  Bakar (kiri) memotong  pokok kelapa sawit menggunakan parang  pada Operasi Cincang di Hutan Simpan Lepar.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, pencerobohan Hutan Simpan Lepar dipercayai dilakukan selepas lesen pembalakan di kawasan berkenaan tamat tempoh kerja.

“Kita percaya individu melakukan kegiatan ini sudah biasa dengan kawasan berkenaan dan mengambil peluang menanam kelapa sawit selepas aktiviti pembalakan di situ selesai

“Hasil rondaan dilakukan Unit Tindakan Khas (UTK) PHD Kuantan, Pekan dan Maran, menemui kawasan tanaman kelapa sawit itu yang dipercayai ditanam lima hingga tujuh bulan lalu,” katanya yang turut menyertai operasi berkenaan, hari ini.

Turut menyertai operasi itu, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad.

Norshazlee berkata, pihaknya mengambil keputusan mengadakan Op Cincang hari ini yang disertai lebih 40 kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran termasuk Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur JPNP, dengan pemantauan sepenuhnya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan petugas.

“Hanya dalam masa kira-kira sejam sahaja semua kelapa sawit dimusnahkan dengan cara mencabut dan memotong pokok terbabit.

“Bagaimanapun, kita gagal mengesan dalang yang terbabit menceroboh untuk menanam lebih  200 pokok kelapa sawit dalam Hutan Simpan Lepar itu,” katanya.

Menurutnya, pihak didapati menceroboh dan memasuki hutan simpan tanpa permit untuk apa juga tujuan, boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya dan agensi terbabit akan lebih kerap melakukan operasi penguat kuasaan bagi memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, Pekan dan Maran  yang menyebabkan merugikan pada kerajaan negeri dapat dikekang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *