Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Seramai 2,128 penonton dibenarkan masuk ke Stadium Darul Makmur untuk menyaksikan perlawanan Sri Pahang berdepan Terengganu FC (TFC), malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Muhammad Suffian Awang berkata, tiket perlawanan dijual pada harga RM13.60 untuk tempat duduk terbuka sahaja.
Katanya, empat pintu disediakan kepada penonton yang boleh memasuki stadium bermula dari jam 6.30 petang hingga 8.30 malam.
“Keputusan membenarkan 2,128 penonton itu hasil mesyuarat yang diadakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Keselamatan Stadium Darul Makmur, semalam.
“Jumlah penonton akan bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan pandemik COVID-19.
“Oleh itu, penonton yang hadir diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan peminat bola sepak dibenarkan untuk hadir ke stadium menyaksikan aksi Liga Super mulai esok.
Semua perlawanan Liga Super dan Liga Perdana dibenarkan untuk disaksikan penonton dengan mematuhi SOP termasuk mendapat kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).