213,344 murid dan pelajar terima manfaat Pahang Pride Student 2022

213,344 murid dan pelajar terima manfaat Pahang Pride Student 2022

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 213,344 murid dan pelajar di Pahang menerima bantuan menerusi Pahang Pride Student 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata berdasarkan statistik 165,304 penerima membabitkan murid dan pelajar Melayu.

Katanya, ia diikuti 22,042 murid dan pelajar Cina, India (7,000), Orang Asli (14,055) dan kaum lain (4,943).

“Ada pun sumber yang diperoleh tidak lain adalah sumber yang halal daripada hasil kerajaan negeri melalui agensi dan usaha perladangan. Semoga segalanya diberkati Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Syed Ibrahim berkata demikian menjawab soalan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini.

Sementara itu, katanya, sejumlah RM408.2 juta bantuan pendidikan disalurkan Yayasan Pahang kepada murid dan pelajar di Pahang sejak 1983.

Syed Ibrahim berkata, sumber kewangan itu memberikan manfaat kepada 320,043 murid sekolah rendah dan menengah.

“Sebenarnya soalan ini sering dikemukakan dan sudah dijawab secara jelas pada sidang-sidang yang lalu. Namun tidak mengapa demi kebaikan bersama, Kerajaan Pahang bersedia membantu memberi penjelasan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN