2,161 mangsa banjir di Pahang masih berada di 34 PPS

2,161 mangsa banjir di Pahang masih berada di 34 PPS

KUANTAN: Tiga puluh empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka yang kini menempatkan 2,161 mangsa banjir daripada 668 keluarga di lima daerah di negeri ini, sehingga 10 pagi ini.

Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 2,489 mangsa banjir daripada 783 keluarga di 33 PPS, semalam. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, Pekan kini ada 939 mangsa diikuti Temerloh (711), Kuantan (364), Bentong (92) dan Maran (89).

Katanya, sembilan jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut, Jerantut.

“Turut ditutup Jalan Sungai Lembing, Kuantan; Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Maran; Jalan Bentong-Gua Musang, Lipis; Jalan Kuantan-Segamat, Pekan; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN