Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Sebanyak 22 rumah di lorong 29 Taman Gambang Damai, di sini, diarahkan
dikosongkan segera atas faktor keselamatan berikutan berlaku
pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abdul Rahim Muda berkata, empat rumah dikenal pasti sangat berisiko selepas terdapat kerosakan pada struktur binaan rumah selain kesan pergerakan tanah yang serius.
Menurutnya, 59 mangsa daripada 11 keluarga yang terbabit sudah berpindah ke Bukit Gambang Resort City (BGRC) yang terletak berhampiran taman perumahan berkenaan untuk sementara waktu.
“Saya difahamkan hanya 11 rumah termasuk salah satu yang roboh berpenghuni manakala selebihnya kebanyakannya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.
“Difahamkan juga terdapat pemilik rumah berpindah lebih awal selepas bimbang ekoran berlaku retakan struktur rumah sejak beberapa hari lalu,” katanya selepas meninjau kejadian dua rumah berkembar runtuh di Taman Gambang Damai, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Hamdan Hussin.
Abdul Rahim berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian dipercayai berlaku akibat pergerakan tanah di kawasan cerun akibat aliran air hujan yang berterusan beberapa hari lalu.
Tambahnya lagi, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMS) akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan dua rumah musnah.
“Kita menjangkakan proses ini akan mengambil masa seminggu untuk mengenal pasti punca kejadian dan menilai risiko sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Kerajaan negeri tidak mahu mengambil risiko dan sebagai langkah selamat, semua rumah yang berisiko diarah dikosongkan sementara siasatan selesai,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi tadi
dua rumah berkembar di Taman Gambang Damai, musnah dalam kejadian tanah runtuh. Ketika kejadian pemiliknya tiada di rumah.