BATANG KALI: Dua lagi mayat tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dijumpai, menjadikan jumlah terkini korban kepada 23 mangsa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata mayat yang ditemukan dalam keadaan sempurna itu adalah wanita lingkungan 30-an dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia di antara dua hingga tiga tahun.
“Kedua-dua mayat telah ditemui pasukan penyelamat di kawasan Hillview (sektor A), pada 1.05 tengah hari.
“Sehingga ini, pasukan penyelamat masih berada di lokasi untuk cari 10 mangsa lain,” katanya pada sidang media di lokasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi itu, di sini, hari ini.
Suffian berkata, kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak polis akan memanggil pengusaha tapak perkhemahan tersebut untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Dato’ Norazam Khamis dalam sidang media sama memberitahu kedua-dua mayat itu ditemui berhampiran antara satu dengan lain pada kedalaman tiga kaki.
“Kami syak mereka adalah ibu dan anak berdasarkan maklumat yang kita dapat. Kedua-dua mangsa ditemui di lereng bawah kawasan Hillview berhampiran dengan kolam air,” katanya.
Bagi mempercepatkan usaha mencari mangsa, Norazam berkata pihaknya memerlukan penambahan jengkaut. – BERNAMA