Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Seramai 236 remaja Orang Asli di negeri terpilih mengikuti pemilihan jawatan konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) Orang Asli dan Senoi Praaq di Kompleks PDRM Alor Akar, di sini hari ini.
Pemilihan selama tiga hari itu membabit peserta lelaki dan perempuan berumur antara 18 hingga 28 tahun yang melalui tiga sesi iaitu ujian fizikal, peperiksaan berkomputer (SPiER) dan temuduga lisan.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, pemilihan anggota polis kali ini begitu menggalakkan dan jumlah teramai dicatat membabitkan penyertaan Orang Asli dalam PDRM.
“Kerjasama pegawai JAKOA daerah yang menyediakan borang permohonan seterusnya menyerahkan kepada remaja terbabit di setiap kampung mereka menjadi faktor utama penyertaan begitu ramai pemilihan tahun ini.
“JAKOA juga menyediakan bas bagi membawa dan menghantar pulang setiap peserta, kemudahan tempat tinggal selain makan secara bungkus turut disediakan bagi keselesaan setiap calon,” katanya selepas membuat pemantauan ujian SPiER di Kompleks PDRM Alor Akar, di sini hari ini.
Katanya, selepas dua hari ujian fizikal dilakukan, hanya 72 peserta layak untuk sesi seterusnya ujian SPiER hari ini.
“Calon yang lulus akan mengikuti temuduga lisan Isnin depan sebelum layak diterima untuk mengikuti latihan pusat.
“Dua jawatan ditawarkan ialah konstabel lelaki dan perempuan serta Senoi Praaq khusus untuk lelaki sahaja,” katanya.
Katanya lagi, remaja Orang Asli yang mengikuti pemilihan jawatan konstabel polis perlu memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berminat menjadi anggota polis sekiranya terpilih.
“Turut mengikuti pemilihan kali ini ialah 30 remaja Orang Asli dari Kelantan yang datang bersama pegawai JAKOA Kelantan menggunakan bas,” katanya.
Sementara itu, Asni Raliana Zamri, 21, calon dari Kampung Permatang Keledang, Pekan berkata, dia begitu berminat dan bercita-cita menjadi anggota polis sejak bersekolah menengah.
“Ketika di sekolah menengah saya menganggotai pasukan kadet polis dan bermula dari situ minat menjadi anggota polis begitu menebal hingga ke hari ini.
“Saya harap percubaan pertama kali ini berhasil. Selepas lulus ujian fizikal saya perlu lulus ujian SPiER hari ini,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.