KUANTAN: Dua puluh empat mangsa banjir kilat di Jalan Sungai Soi, Kempadang, di sini, dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kempadang, pagi ini.
Menerusi hantaran di Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, menjelaskan semua mangsa dipindahkan dengan menaiki lori Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan.
Keadaan itu berikutan hujan berterusan sejak semalam, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir.
Sementara itu, menurut portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/, Sungai Kechau di Kampung Dusun, di Lipis dan Sungai Lembing, Kuantan, melepasi paras bahaya, apabila masing-masing mencatatkan bacaan 82.73 meter dan 37.97 meter.
Tiga sungai, masing-masing dua di Jerantut dan satu di Kuantan melepasi paras berjaga-jaga.
Dua sungai di Jerantut ialah Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Tembeling di Kampung Merting yang merekodkan 64.63 meter dan 54.57 meter serta Sungai Kuantan di Bukit Kenau di sini, pada paras 20.25 meter. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN