KUANTAN: Dua puluh empat penuntut Institut Kemahiran Mara Tan Sri Yahaya Ahmad (IKM TSYA), Pekan, terbabit dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) membaiki kereta yang ditenggelami banjir di Taman Seri Inderapura, di sini, semalam.
Penyelaras program, Jailani Sumadi berkata, program kali pertama diadakan itu bagi meringankan beban mangsa banjir.
Menurutnya, mereka terdiri daripada penuntut tahun dua Diploma Teknologi Automotif dan dibantu beberapa pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang itu.
Katanya, pihaknya mensasarkan 20 kenderaan dapat dibaiki sehari dan program itu akan berkenaan diadakan dua hari sebelum ke Taman Guru, di sini.
“Kita akan menggantikan minyak enjin setiap kereta di samping membaiki beberapa kerosakan lain jika ada.
“Saya tidak sangka banyak kereta yang ditenggelami banjir di Taman Seri Inderapura, semua mangsa begitu tertekan selepas kerugian harta benda,” katanya.
Beliau berkata, usaha yang sama pernah diadakan di Kemaman, Terengganu, lima tahun lalu.
Jailani berkata, pihaknya turut membantu membersihkan beberapa rumah kakitangan IKM TSYA yang ditenggelami banjir di Pekan. – MOHD IMRAN IZZAD