240 peserta terima lot tanah Skim Tanah Rakyat

240 peserta terima lot tanah Skim Tanah Rakyat

PEKAN: Sekurang-kurangnya 240 peserta yang terdiri daripada penjawat awam dan pesara kerajaan menerima surat tawaran Skim Tanah Rakyat (STR).

Penyampaian lot tanah itu disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam. 

Wan Rosdy berkata, penyampaian STR itu membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan golongan berkenaan.

“Pada masa sama, pemberian itu sebagai menghargai mereka sepanjang berkhidmat dengan kerajaan negeri,” katanya.

Melalui skim berkenaan, setiap peserta menerima lot tanah dua hektar dengan anggaran harga jualan RM61,000 membabitkan kawasan Batu 8 Lepar , Mukim Lepar, Pekan.

Kelulusan STR itu dilakukan melalui Jawatankuasa Khas Penyelesaian SKim Tanah Rakyat (JKPSTR) yang bertindak sebagai jawatankuasa khusus bagi mempertimbangkan pemberi milikan tanah secara berperancangan di negeri ini.

Wan Rosdy berkata, antara kriteria ialah penjawat awam, pesara atau yang berpendapatan rendah.

“Saya turut mengingatkan peserta STR tidak lupa tanggungjawab untuk membayar cukai tanah,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN