PEKAN: Seramai 250 orang terdiri daripada guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk yang bergotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini, hari ini.
Sekolah itu antara yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini dan turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir dari kampung berhampiran.
Gotong-royong anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan itu turut disertai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan dan sukarelawaan Parlimen Pekan.
Pegawai PPD Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata program pasca banjir SK Temai adalah yang terakhir membabitkan sekolah di daerah ini yang terjejas akibat banjir dua kali pada akhir tahun lalu dan banjir gelombang kedua minggu lalu.
Menurutnya, sebanyak 14 agensi berganding bahu secara gotong-royong selama lima jam bermula 8.30 pagi dengan fokus utama ialah membersihkan kotoran termasuk lumpur yang melekat pada lantai, dinding, parit dan kemudahan sekolah.
“Lapan sekolah terjejas banjir di daerah ini adalah SK Temai, SK Pelak, SK Tanjung Agas, SK Paloh Hinai, SK Serambi, SK Padang Rumbia, SK Acheh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai.
“Sokongan diberikan pelbagai pihak terutama JBPM, Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia), Majlis Daerah Pekan (MDP), SWCorp, Guru Pewaris Bangsa (GPB) dan Persatuan Kontraktor Pekan melancarkan operasi membersih,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan, di sini, hari ini.
Mohd Razali berkata, air bertakung dalam kawasan SK Temai hampir sebulan hingga memaksa pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan menggunakan pam untuk menyedut air dan disalirkan ke Sungai Pahang, selepas air kering kerja membersih dapat dilakukan hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD.