2,500 tempahan bilik di Pulau Tioman pada hari pertama rentas negeri

2,500 tempahan bilik di Pulau Tioman pada hari pertama rentas negeri

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com.my

TEMERLOH: Sejak kebenaran rentas negeri berkuat kuasa 11 Oktober lalu, tempahan bilik di kebanyakan pusat pelancongan negeri ini mendapat permintaan luar biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata bilik kebanyakan pusat pelancongan habis ditempah.

Malah katanya, di Pulau Tioman sahaja, sebanyak 2,500 tempahan bilik sudah diterima.

“Selain Pulau Tioman, Cameron Highlands juga menerima tempahan luar biasa daripada pelancong domestik dan hasil soal selidik dilakukan, kita mendapati kebanyakan tempahan hotel di sana juga penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya memperoleh data berkenaan melalui sistem baharu yang diperkenalkan iaitu pengesanan melalui imbasan kod QR serta butiran yang diisi pelancong melalui sistem berkenaan.

“Kita yakin semua pengusaha pelancongan sudah bersedia dan akan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kerana mustahil mereka mahu mengambil risiko untuk menutup semula operasi jika terdapat jangkitan Covid-19.

“Di Pahang terdapat 3,800 bilik berdaftar dan mustahil untuk kita membuat pemeriksaan ke setiap bilik, jadi, penyedia penginapan perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.