LIPIS: Sekurang-kurangnya 25,000 benih ikan lampam sungai dan 300 kelah dilepaskan ke dalam Sungai Lipis, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, inisiatif itu dilakukan bagi menambah stok ikan ke perairan umum di samping usaha ke arah pemeliharaan sumber semulajadi.
“Dalam masa sama, usaha itu dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan sumber perikanan darat dan sungai sebagai sumber makanan bagi meningkatkan pendapatan nelayan darat selaras dengan Dasar Sekuriti Makanan.
“Pahang kini mempunyai 380 nelayan darat berdaftar sepenuh masa yang menerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat berjumlah RM250 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program pelepasan benih ikan ke perairan umum peringkat negeri Pahang ke Sungai Lipis di Kampung Melayu Benta, dekat sini, hari ini, yang turut disaksikan oleh Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar.
Selain itu, 15 penternak akuakultur dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta turut menerima 30,000 benih ikan talapia dalam majlis ringkas yang diadakan di tempat yang sama. – MUHAMMAD NAJMIE