KUANTAN: Seramai 251 penternak ikan air tawar di negeri ini kerugian lebih RM5.6 juta akibat bencana banjir baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila penilaian keseluruhan kemusnahan sangkar dan kolam dilakukan.
Menurutnya, golongan penternak ikan di negeri ini banyak terdapat di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan.
“Banjir yang berlaku menyebabkan sangkar hanyut dan hilang, stor makanan ikan rosak serta kematian ikan termasuk ikan terlepas ke Sungai Pahang.
“Estet ikan yang merupakan tempat ternakan ikan yang dijaga dan diuruskan ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik terbabit,” katanya hari ini
Selain itu, beliau berkata, banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.
“Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP). – MOHD IMRAN IZZAD.