KUANTAN: Sekurang-kurangnya 25,146 murid Tahun Satu di negeri ini menerima RM100 tunai daripada Kerajaan Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, 25,051 pemenerima terdiri murid sekolah rendah manakala baki 95 pelajar Sekolah Rendah Tahfiz Pahang.
Katanya, peruntukan itu membabitkan RM2.514 juta yang diharapkan dapat membantu meringankan beban ibu bapa murid untuk membeli kelengkapan persekolahan.
“Tiada permohonan perlu dilakukan ibu bapa kerana semua murid Tahun Satu di Pahang layak menerima RM100. Data murid diambil daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang,” katanya kepada media selepas Majlis Sumbangan Awal Persekolahan Murid Tahun 1 bagi Tahun 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, pemberian itu adalah susulan daripada pengumuman BPP 2022 pada 9 April lalu, yang membabitkan empat kluster utama dengan jumlah keseluruhannya kira-kira RM30 juta.
“Kluster berkenaan ialah Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum dan Kluster Apresiasi yang kesemuanya membabitkan kira-kira 300,000 penerima,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN