Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
pic
KUANTAN: Seramai 2,517 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) pulang menyambut hari raya di kampung halaman masing-masing secara berperingkat bermula semalam.
Bagi melancarkan proses kepulangan pelajar, sebanyak 18 bas disediakan oleh UMP mengikut jadual penghantaran yang ditetapkan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pada hari pertama semalam, lebih 900 pelajar pulang menaiki kenderaan sendiri, kenderaan UMP, kapal terbang dan diambil oleh ibu bapa.
Katanya, UMP turut menyediakan juadah sahur bagi semua pelajar yang menaiki kenderaan universiti hasil tajaan Yayasan UMP.
“Pihak pengurusan UMP bersetuju menetapkan mekanisme kawalan iaitu pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar terkawal.
“Pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan Aidilfitri.
“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing berdasarkan tiga kaedah pergerakan pulang pelajar iaitu menggunakan kenderaan sendiri atau dijemput oleh ibu bapa atau menggunakan kenderaan yang diselaraskan oleh UMP,” katanya di sini, hari ini.
Bagi penuntut yang pulang menggunakan kenderaan sendiri, beliau berkata, mereka dibenarkan memandu kenderaan sendiri dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh UMP bermula 7 hingga 12 Mei ini.
Katanya, semua pelajar dijangka kembali ke kampus pada 15 hingga 20 Mei ini.
“Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam kecuali perkhidmatan penerbangan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Yuserrie mengingatkan hanya pelajar sedia ada, pelajar yang sedang menjalani latihan industri dan pelajar yang dikenal pasti oleh UMP di bawah kategori pelajar berkeperluan enam kategori sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus sempena cuti Aidilfitri.
“Pelajar yang pulang ke kampung sepatutnya mengambil peluang sebaiknya untuk bersama keluarga dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di kampung bagi membendung penularan COVID-19 yang masih menular di negara ini,” katanya.