JERANTUT: Sekurang-kurangnya 26 menara komunikasi baharu dengan liputan 4G sedang dibina di daerah ini di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Daripada jumlah itu, empat menara siap beroperasi iaitu di Kampung Pasir Durian, Sri Muda, Bukit Dinding dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, baki 22 menara lagi sedang dalam pembinaan.
Katanya kerja pembinaan tapak menara komunikasi baharu sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik dan dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember 2021.
“Dengan adanya penambahan menara telekomunikasi di Jerantut, ia bakal memudahkan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai urusan seperti pembelajaran atas talian dan bekerja dari rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Internet Damak dan Pusat Komuniti Desa, Kampung Ulu Cheka, bagi meninjau keadaan liputan Internet di kawasan itu. – MUHAMMAD NAJMIE