27.76 juta pokok sudah ditanam di seluruh negara 

27.76 juta pokok sudah ditanam di seluruh negara 

LIPIS: Penanaman pokok akan terus dipergiatkan melalui Program Penghijauan Malaysia dan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sekurang-kurangnya 27.76 juta pokok sudah ditanam di seluruh negara. 

“Kementerian ingin menjemput semua pihak untuk terus menyokong dan melipatgandakan usaha bagi menjayakan agenda nasional ini dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025. 

“Saya menyeru supaya lebih banyak persatuan komuniti, badan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk bersama-sama lebih aktif kerana insentif pengecualian cukai juga disediakan untuk sumbangan kepada aktiviti konservasi dan Penghijauan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Sungai Yu, di sini, semalam.

Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. – MOHD IMRAN IZZAD