2,844 pegawai, anggota bertugas di 14 pusat penamaan calon

2,844 pegawai, anggota bertugas di 14 pusat penamaan calon

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 2,844 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di 14 pusat penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh negeri, esok.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua ketua polis daerah juga sudah mengadakan sesi perjumpaan dan taklimat keselamatan bersama calon, wakil calon dan parti yang bertanding.

“Bagi melancarkan proses penamaan calon, polis menasihati semua calon, wakil calon daripada parti bertanding agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli turut menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya merancang perjalanan dengan merujuk maklumat penutupan dan lencongan jalan sempena hari penamaan calon melalui Facebook Polis Daerah. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN