292 pelajar cemerlang STAM Pahang terima insentif khas

292 pelajar cemerlang STAM Pahang terima insentif khas

PEKAN: Seramai 292 pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021, menerima insentif khas daripada Kerajaan Pahang, hari ini.

Bagi pelajar yang mendapat mumtaz (kelas pertama), seramai 25 orang menerima wang tunai RM1,000 seorang.

Seramai 89 pelajar yang mendapat Jaiyid Jiddan (kelas kedua) pula menerima RM800 seorang manakala 178  pelajar mendapat Jaiyid (baik) menerima RM500 seorang.

Insentif khas itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Dewan Sultan Ahmad Shah, Kulliah Al-Lughah Waddin Sultan Ahmad Shah.

Syed Ibrahim berkata, insentif itu diharap meningkatkan motivasi kepada semua pelajar berkenaan.

“Selain itu, ia memberi gambaran jelas dalam memilih pusat pengajian tinggi selepas memperoleh keputusan cemerlang.

“Pengiktirafan turut diberikan kepada tiga daripada sekolah yang mengambil STAMP telah memperolehi gred purata sekolah (GPS) tertinggi.   

“Tempat pertama mendapat RM4,000, RM3,000 (kedua)  dan RM2,000 (ketiga).

“Saya juga meraikan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif daripada lima sekolah.

“Terdapat tiga sekolah terpilih berdasarkan kepada kerjasama dan kesungguhan dan setiap PIBG menerima RM3,000,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN