30 pengusaha perkemas ilmu pelancongan 

30 pengusaha perkemas ilmu pelancongan 

TEMERLOH: Tiga puluh pengusaha produk pelancongan di daerah ini menyertai Bengkel Perancangan, Promosi, Rakan Strategik dan Perusahaan Sosial di Kampungstay Desa Murni Sanggang, di sini, semalam.

Bengkel itu anjuran Persatuan Pengusaha Pelancongan Temerloh dengan kerjasama Tourism Pahang dan Tourism Malaysia Wilayah Timur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata bengkel bertujuan mewujudkan hubungan strategik antara pengusaha dengan agensi berkaitan.

“Bengkel seperti ini akan membantu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Mohd Sharkar berkata, inisiatif Persatuan Pengusaha Pelancongan Temerloh membangunkan laman www.temerlohunlimited.com bagi mengumpul maklumat serta carian pengusaha dan peniaga di Temerloh adalah langkah terbaik.

“Semoga industri pelancongan di Temerloh berkembang lebih pesat di masa akan datang,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN