JERANTUT: Sekumpulan tiga puluh penyelidik kini mengikuti Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka, di sini, bagi mengkaji dan menilai kawasan hutan itu.
Mereka terdiri daripada pensyarah, penuntut universiti dan pegawai agensi kerajaan yang melakukan kajian dalam bidang tumbuhan, haiwan, serangga, kualiti air, flora dan fauna.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Samsu Anuar Nawi berkata ekspedisi lima hari itu diketuai penyelidik dan pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Manohar Mariapan.
“Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka adalah anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
“Hasil kajian akan dibukukan sebagai rujukan kepada Kerajaan Pahang untuk tindakan pada masa akan datang,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD