PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan melupuskan lebih 30 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, aktiviti pelupusan dilakukan menggunakan insinerator atau tempat pembakaran khas milik JAIP dan swasta.
Menurutnya, pusat pelupusan atau pembakaran kendalian JAIP terletak dalam kawasan Pejabat Ugama Daerah Pekan dan mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram bahan bacaan berkenaan yang sudah kering hampir seratus peratus.
Katanya, proses membakar dilakukan setiap hari manakala abu akan digaul dengan air sebelum ditempatkan dalam bekas untuk dikeringkan selama seminggu.
“Ketulan atau bongkah seberat lima kilogram setiap satu akan simpan dalam beg plastik sebelum proses melupuskan di laut dilakukan dengan bantuan agensi kerajaan lain.
“Kita mengambil masa yang agak panjang untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran kerana jumlahnya banyak,” katanya selepas memantau proses pelupusan menggunakan insinerator, di sini, semalam.
Noridzuan berkata, Bentong dan Temerloh mencatat jumlah terbanyak al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir berbanding Kuantan, Bera, Jerantut, Raub, Maran dan Lipis. – MOHD IMRAN IZZAD