300 calon SPM 2021 di Pahang dapat semua A

300 calon SPM 2021 di Pahang dapat semua A

KUANTAN: Tiga ratus daripada 17,528 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pahang memperoleh keputusan semua A.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, pencapaian keseluruhan prestasi Gred Purata Negeri (GPN) Pahang ialah 4.74.

 Katanya, 10 sekolah tersenarai sebagai sekolah terbaik termasuk tiga sekolah harian.

“Sekolah berkenaan ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, Kuantan; Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah, Raub; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan dan SBPI Temerloh, Temerloh.

“Selain itu, SMK Jengka Pusat, Maran; Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong, Bentong; SMK Seri Bera, Bera; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; SBPI Tun Abdul Razak (Pekan) dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan,” katanya.

Mohammad Rosli berkata demikian pada sidang media di SMK Abdul Rahman Talib, di sini, hari ini.

Bagi prestasi calon dalam kalangan pelajar Orang Asli, beliau berkata, 24 daripada 616 calon memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 5A.

“Daripada 106 Calon Berkeperluan Khas (CBK), lima calon memperoleh sekurang-kurangnya 5A membabitkan dua calon orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan tiga calon masalah pembelajaran,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN