KUANTAN: Seramai 300 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Lembing, dekat sini menerima wang ihsan banjir, semalam.
Pengagihan wang ihsan itu membabitkan KIR dari Kampung Melayu, Kampung Jeram Takar, Kampung Jelihang, Kampung Bukit Kuin, Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah, berkata setiap KIR menerima wang tunai RM500.
“Wang ihsan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi ketika berlaku banjir di kawasan mereka,” katanya.
Pada masa sama, beliau berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan.
“Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Pejabat Penerangan Daerah Kuantan, Penghulu Mukim Hulu Kuantan, Penghulu Mukim Ulu Kuantan serta semua ketua kampung yang terbabit dalam menjayakan majlis pengagihan wang ihsan ini,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN