KUANTAN: Tiada yang lebih membahagiakan bagi golongan wanita beragama Islam di negeri ini apabila dapat memeriahkan kembali Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran Wanita Tahun 2022 Peringkat Negeri Pahang selepas terpaksa ‘bercuti’ dua tahun akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kira-kira 300 wanita hadir mengimarahkan majlis berkenaan yang diadakan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Gebeng, di sini, hari ini.
Majlis kali ke-13 itu diserikan dengan kehadiran isteri YAB Menteri Besar, Datin Sri Dato’ Burhah Muhammed yang menjadi wakil rasmi kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.
Shahaniza dalam ucapannya berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan majlis itu bagi menghidupkan suasana Ramadan di negeri ini dan mengambil peluang mengumpulkan golongan wanita dalam satu majlis ilmu yang bermanfaat.
“Melalui majlis ini juga, golongan wanita dapat berkenalan, membina ukhuwah dan seterusnya bertukar pandangan antara satu sama lain.
“Selain itu, dalam bertadarus, kita hendaklah saling memperbetulkan bacaan antara satu sama lain dan suasana ini seolah-olah kita berdiskusi dalam mencapai bacaan terbaik.
“Alangkah indahnya jika budaya perbincangan atau berdiskusi ini dapat diterapkan dalam kehidupan sehari-hari. Budaya saling tegur-menegur ini akan membuahkan banyak idea-idea bernas, seterusnya dapat membantu kita menyelesaikan banyak masalah sekiranya suasana perbincangan itu diadakan dalam suasana harmoni,” katanya.
Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Wanita Peringkat Negeri Pahang Ramadan 1443 Hijrah dianjurkan Kerajaan Pahang dan diselaraskan Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga dengan Kerjasama AMSAS dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) selain pelbagai agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). – HELMY ABD RAHMAN