Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Seramai 3,141 pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 di 18 sekolah menengah agama negeri (SMAN) Pahang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata hanya tinggal 312 daripada 3,452 pelajar masih belum menerima suntikan.
“Setakat ini seramai 3,141 pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 SMAN telah menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh Pahang.
“Pelajar yang belum divaksin boleh ke sekolah apabila dibuka 11 Oktober ini, tetapi dinasihatkan supaya mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya, semalam.
Menurutnya, guru yang belum menerima vaksin lengkap atau belum divaksin pula perlu hadir ke sekolah tetapi tidak dibenarkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.
“Mereka perlu ditempatkan dalam bilik yang berasingan dan mestilah sentiasa memakai pelitup muka berganda serta pelindung muka dengan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) khusus yang disediakan,” katanya.