KUANTAN: Tiga puluh dua ahli Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Maran menyertai UMNO, hari ini.
Mereka diketuai Ketua Srikandi Bersatu bahagian itu, Siti Nora Mohamad Noor,43 yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata keputusan 32 ahli Bersatu Maran untuk menyertai UMNO adalah atas kerelaan mereka.
“Saya tidak mengenali Siti Nora dan begitu juga ahli lain yang menyertai UMNO. Mereka dapati Bersatu tiada pengisian berbanding UMNO yang ligat bergerak untuk membantu rakyat,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas menerima borang keahlian UMNO daripada Siti Nora, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.
Sementara itu, Siti Nora berkata, keputusan keluar daripada Bersatu berikutan mereka hilang kepercayaan terhadap hala tuju parti berkenaan.
Selain itu, katanya, kelemahan kepimpinan parti begitu jelas sama ada di peringkat bahagian, negeri dan pusat.
“Kira-kira 100 ahli Bersatu Maran yang lain dijangka mengumumkan keluar parti. Keputusan bersama UMNO kerana parti ini sentiasa berada di landasan yang betul dan sentiasa menjaga rakyat,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN