EMPAT pasukan akan membawa cabaran Pahang pada saingan SSMP Paya Besar Rugby Sevens Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Cup pada Sabtu dan Ahad ini.
Kejohanan julung kali dianjurkan itu diadakan di Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Gambang, di Kuantan, membabitkan kategori 14 dan 16 tahun.
Pengetua SSMP, Jalaluddin Ismail berkata kejohanan dua hari itu disertai tiga puluh dua pasukan sekolah menengah dan sekolah sukan di sembilan negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurutnya, kejohanan berkenaan anjuran SSMP dan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Paya Besar bertujuan mencungkil bakat baharu dikalangan pemain di peringkat sekolah.
“Empat pasukan masing-masing dua kategori 16 tahun dan dua kategori 14 tahun mewakili SSMP, beraksi di gelanggang sendiri diharap mencetuskan kejayaan.
“Saya berharap pasukan bimbingan jurulatih Mohd Nasrul Hakim Mohamad Zahir dapat memberi persembahan terbaik dan membanggakan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD