321 penduduk di Lorong Wong Ah Jang dibantu

321 penduduk di Lorong Wong Ah Jang dibantu

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan pelbagai bantuan kepada sekurang-kurangnya 321 penduduk di Lorong Wong Ah Jang, di sini.

Bantuan disalurkan kepada Dapur Infaq Ummah yang bertanggungjawab membela nasib golongan terbabit sejak lima tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, antara aktiviti pemulihan yang dilakukan ialah menyediakan surau dan guru agama untuk mengajar golongan dewasa dan kanak-kanak.

“Kita ingin melihat komuniti Lorong Wong Ah Jang yang sebelum ini terbabit dengan pelbagai aktiviti negatif dapat kembali ke pangkal jalan dan meneruskan kehidupan lebih bermakna.

“Didikan agama penting yang dapat menjadi benteng kepada mereka meneruskan kehidupan selepas tersalah memilih laluan sebelum ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, Dapur Infaq Ummah menjadi pencetus kepada MUIP untuk turut sama berganding bahu membela nasib komuniti Lorong Wong Ah Jang. – MOHD IMRAN IZZAD