KUANTAN: “Saya tidak sangka ujian sebesar ini kami hadapi… hanya dalam sekelip mata 33 pondok musnah dijilat api,” kata pengetua dan tok guru pondok Madrasah Al Imaniyah, Zaidi Malik, 52, mengenai kejadian kebakaran yang memusnahkan 33 pondok yang terletak di Kampung Darat Sungai Ular di sini, kira-kira jam 9 pagi, hari ini.
Difahamkan, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku memandangkan ketika kejadian, pondok berkenaan tiada berpenghuni kerana semua pelajar sedang bercuti.
Menurut Zaidi, ketika insiden itu berlaku, dia dalam perjalanan ke Kota Bharu sebelum dihubungi penduduk kampung memberitahu pondok mengalami kebakaran.
“Saya ambil keputusan berpatah balik untuk melihat sendiri kejadian yang berlaku dan setiba ditempat kejadian luluh hati saya melihat kebakaran ini.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ada hikmah disebalik apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Darat Sungai Ular di sini, hari ini.
Zaidi berkata, kejadian itu terburuk pernah dialami sekolah pondok berkenaan sejak penubuhan dan pengoperasiannya 10 tahun lalu.
“Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan pelajar yang pulang selepas bercuti nanti akan ditumpangkan dulu di pondok rakan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Dato’ Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata terdapat kira-kira 100 buah pondok di madrasah itu dan 33 daripadanya musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.37 pagi sebelum 19 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Indera Mahkota digerakkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
“Ketika tiba api sedang marak dan 21 pondok sedang terbakar. Anggota kami berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran kedudukan pili bomba terlalu jauh iaitu 300 meter dan terpaksa menggunakan sumber air lain untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD