TIGA puluh empat regu yang mewakili setiap daerah termasuk tiga regu Sukan Malaysia (Sukma) Pahang akan bersaing dalam Liga Sepak Takraw Pahang yang diadakan secara lima sirkit di Cameron Highlands.
Hanya 24 regu terbaik sahaja akan berpeluang beraksi pada sirkit akhir merebut Piala Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera, pada Jun depan.
Pengerusi kejohanan, Nara Nordin berkata, sirkit pertama menyaksikan Cameron Highlands sebagai tuan rumah dan bermula semalam.
Saingan pembuka tirai itu bagi merebut Piala Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ketua UMNO Cameron Highlands.
Menurutnya, johan sirkit pertama membawa pulang hadiah RM1,500 dan piala pusingan Menteri Besar Pahang, naib johan RM1,000, ketiga RM500 dan keempat RM400.
Katanya, sirkit kedua akan diadakan di Maran pada Februari, sirkit ketiga (Mei) di Temerloh, sirkit keempat pada (Mei) di Lipis dan sirkit terakhir dan kemuncak pertandingan berkenaan pada awal Jun di Bera.
“Pertandingan yang julung kali diadakan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM16,000 dan piala pusingan disumbangkan oleh Ketua UMNO Bera, Cameron Highlands, Maran, Temerloh dan Lipis.
“Tujuan utama Liga Sepak Takraw Pahang diadakan bertujuan untuk mempopularkan semula sepak takraw di peringkat daerah dan negeri seterusnya mencungkil bakat muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Liga Sepak Takraw Pahang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, di sini, kelmarin. – MOHD IMRAN IZZAD