3,400 peniaga kecil Pahang yang terjejas banjir dapat BBKM 

3,400 peniaga kecil Pahang yang terjejas banjir dapat BBKM 

TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya TEKUN Nasional menyalurkan RM10.2 juta sebagai geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di seluruh Pahang.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, geran BBKM itu disasarkan kepada peniaga informal dan mikro yang premis mereka terjejas dengan banjir dan terbuka kepada warganegara Malaysia tanpa mengira kaum.

“Ia adalah untuk membantu usahawan bangkit semula yang ketika ini terjejas akibat bencana banjir. Terdapat 3,400 usahawan informal dan mikro di Pahang yang premis perniagaan mereka terjejas dengan banjir. 

“Setiap daripada mereka akan menerima RM3,000. Geran ini diberikan secara one- off dan tidak perlu dibayar balik,” katanya selepas menyampaikan penyerahan geran BBKM kepada lima ratus usahawan informal dan mikro Parlimen Temerloh, di Dewan Tun Razak, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Hal Ehwal Pengguna Pahang,  

Dato’ Nazri Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang,  Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir. 

Noh berkata, permohonan geran BBKM itu dibuka pada awal Februari 2022 dan ditutup pada 19 Mac lalu, kerana dana yang diperuntukkan sudah habis.

“Kira-kira RM50 juta diperuntukkan untuk geran ini yang memberi manfaat kepada 16,666 usahawan formal dan mikro seluruh negara, khusus di negeri yang dilanda banjir. 

“Sehingga ini, 16,058 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 9,688 permohonan sudah diluluskan manakala baki 6,370 permohonan masih dalam proses penilaian,” katanya.