3,472 mahasiswa UMP terima peranti siswa

3,472 mahasiswa UMP terima peranti siswa

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 3,472 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima peranti secara berperingkat menerusi Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia iaitu inisiatif kerajaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff, berkata peranti itu bagi membantu mahasiswa B40 dalam memastikan proses pengajian para mahasiswa berjalan lancar.

Katanya, peranti berkenaan diharap memberi manfaatkan sebaik mungkin kepada mahasiswa.

“Setakat ini, Peranti Siswa Keluarga Malaysia sudah diagihkan di Selangor, Terengganu, Sabah, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya.

Dr Mohd Zabri berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat UMP di UMP Gambang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin berkata, inisiatif daripada kerajaan semestinya berita gembira dan bermakna buat mahasiswa yang menerima sumbangan itu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN