350 anggota APM siap bantu mangsa bah

350 anggota APM siap bantu mangsa bah

KUANTAN: Tiga ratus lima puluh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang akan bertugas memberi bantuan menyelamat mangsa banjir di sebelas daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah anggota yang bertugas secara berterusan akan ditambah kepada empat ratus sekiranya keadaan memerlukan.

Menurutnya, setiap daerah mempunyai di antara 30 dan 40 anggota yang sedia memberi bantuan memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya percaya anggota APM di peringkat daerah kini siap memberi bantuan sekiranya banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Latihan Pemantapan Sekretariat Pengurusan Bencana Zon Timur membabitkan seratus anggota APM, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD