350 kanak-kanak masuk jawi di Jerantut

350 kanak-kanak masuk jawi di Jerantut

JERANTUT: Sekurang-kurangnya 350 kanak-kanak 9 hingga 12  tahun termasuk sebelas anak Orang Asli Sungai Kiol menyertai program berkhatan perdana, di Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, pagi ini. 

Program yang diadakan oleh Pejabat Parlimen Jerantut itu turut diadakan di tiga Dewan Undangan Negeri Negeri (DUN) Pulau Tawar, Damak dan Tahan. 

Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris berkata, majlis itu itu membabitkan kanak-kanak daripada keluarga B40. 

“Program seperti ini pernah diadakan sebelum ini. Tapi, terhenti kerana pandemik Covid-19,” katanya. 

Menurutnya, program berkenaan mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut dan Klinik Kesihatan Jerantut di samping Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal  Mohd  Khairi  berkata, 11 pasukan meliputi 30 doktor dan penolong pegawai perubatan terbabit dalam program berkenaan.

“Ini sumbangan kami sebagai khidmat masyarakat yang dituntut dalam agama. Selain itu, kami turut tidak terkecuali mendekati masyarakat melalui usaha yang dilaksanakan oleh pejabat Parlimen Jerantut. – MUHAMMAD NAJMIE