KUANTAN: Sekurang-kurangnya 350 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang proses pembuangan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf menasihati penduduk dalam kawasan DUN Tioman keluar mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sistem demokrasi negara ini.
“Elak bertelagah sesama sendiri yang hanya sesia dan mengancam keselamatan diri dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
PRU15 di DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Md Yunus Ramli, 61, beberapa jam sebelum proses pengundian PRU-15, pada 19 November lalu.
DUN Tioman akan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN, Nor Idayu Hashim, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Bagaimanapun, Mohd Fadzli Mohd Ramly dari Pakatan Harapan (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN untuk meningkatkan peluang mencatatkan kemenangan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN