SAINGAN sirkit ketiga Liga Sepak Takraw Pahang (LSTP) menyaksikan perebutan kejuaraan membabitkan 36 pasukan di Gelanggang Desa Murni dan Gelanggang Taman Seri Kemuning, Temerloh, semalam.
Pertandingan bagi merebut Piala Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM4,000.
Pengerusi kejohanan, Nara Nordin berkata, Liga Sepak Takraw Pahang diadakan secara lima sirkit bermula di Cameron Highlands bagi merebut Piala Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, pada Januari lalu.
Menurutnya, sirkit kedua diadakan di Maran yang kemudian diikuti sirkit ketiga di Temerloh manakala sirkit keempat (Mei) di Lipis dengan sirkit terakhir dan kemuncak pertandingan di Bera (Jun).
Katanya, hanya 24 regu terbaik akan berpeluang beraksi pada sirkit terakhir merebut Piala Ketua UMNO Bahagian Bera, pada Jun depan. – MOHD IMRAN IZZAD