366 penyu agar mendarat di Cherating

366 penyu agar mendarat di Cherating

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, dekat sini, mencatatkan pendaratan 366 penyu jenis agar yang menghasilkan 30,454 telur sepanjang sembilan bulan, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, 21,563 daripada jumlah telur itu berjaya ditetaskan di pusat penetasan khas sebelum dilepaskan ke laut secara berperingkat.

Beliau berkata, jumlah pendaratan penyu tertinggi sepanjang 10 tahun dicatatkan pada 2016 iaitu 592 yang menghasilkan 53,112 telur, dengan 31,652 daripada jumlah itu ditetaskan mengikut jadual. 

Katanya, jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.

“Aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong dan murid sekolah lebih banyak dapat diadakan sekiranya jumlah penyu jenis agar yang mendarat di PKPP bertambah dan menghasilkan banyak telur setiap tahun.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah pada masa akan datang,” katanya, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, PKPP Cherating ditutup sebelum ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja menaik taraf tempat berkenaan, PKPP Cherating akan dibuka kepada pelancong, bermula minggu depan.

Menurutnya, keistimewaan diberikan kepada pelancong yang berkunjung ke PKPP Cherating ialah mereka berpeluang untuk melepaskan anak penyu ke laut, pada kira-kira 6 petang.