PEKAN: Sekurang-kurangnya 39 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di empat sekolah menengah di daerah ini tidak dapat menduduki peperiksaan apabila mereka disahkan positif Covid-19.
Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, calon SPM yang menjalani kuarantin akan mengikuti penjadualan semula SPM seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, pihaknya tidak boleh membenarkan calon positif Covid-19 menduduki peperiksaan bagi mengelak berlaku penularan tidak terkawal.
“Dalam kes ini, kita perlu mengikut arahan kementerian yang sentiasa mementingkan kesihatan dan keselamatan pelajar. Wabak Covid-19 tidak boleh diambil mudah kerana ia memberi kesan terhadap manusia.
“Terdapat 1,438 calon SPM daripada 16 sekolah kini menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini,” katanya ditemui selepas meninjau keadaan calon SPM di SMK Dato’ Mahmud Mat, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD