BERA: Sekurang-kurangnya 39,452 daripada 43,126 peneroka FELDA di Pahang sudah menerima suratan hak milik tanah masing-masing yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hanya kurang 10 peratus atau 3,674 peneroka masih belum menerima surat hak milik mereka.
“Bulan lalu, saya menyerahkan surat hak milik kepada 218 peneroka di FELDA Keratong 7 manakala 512 hak milik di FELDA Keratong 8. Ia merangkumi satu tapak rumah dan satu tapak pertanian seluas empat hektar seorang.
“Dalam masa terdekat, saya akan serahkan surat hak milik tanah kepada 712 peneroka di FELDA Bukit Sagu 1, 2 dan 3,” katanya ketika berucap di majlis Hari Peneroka FELDA 2022, di sini, hari ini.
Katanya, Pahang adalah satu-satunya negeri mempunyai tiga Wilayah FELDA iaitu FELDA Wilayah Kuantan, Wilayah Jengka dan Wilayah Mempaga, yang meliputi kawasan seluas 203,000 hektar dan diduduki 43,126 peneroka.
Katanya, 43,126 peneroka itu pula adalah mewakili 38.29 peratus daripada keseluruhan 112,638 peneroka FELDA di Malaysia.
“Dengan itu tentulah warga peneroka di Pahang menjadi antara penyumbang paling signifikan kepada kemajuan dan pembangunan FELDA di negara ini dalam meningkatkan hasil dan pendapatan ekonomi negara,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE