KUANTAN: Sempena program Ihya Ramadan tahun ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengagihkan sumbangan keperluan asas kepada 40 golongan asnaf di daerah ini.
Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM, Dr Hasbullah Mohamad, berkata sumbangan diberikan itu bagi meringankan beban golongan terbabit yang berdaftar dengan UIAM sebagai asnaf.
Menurutnya, barangan keperluan asas yang diberikan ialah beras, gula, minyak masak, tepung, kicap, sardin dan susu.
“Ini adalah sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di bawah program Dapur Zakat dan disempurnakan Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Azmi Md Noor.
“Setiap kali Ramadan kita menyediakan bantuan kepada golongan asnaf berdaftar dengan UIAM dan mereka diraikan dalam program diadakan di masjid,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu.
Tambahnya, sebelum ini UIAM kampus Kuantan turut mengagihkan sumbangan keperluan asas sempena Ramadan kepada 200 kakitangan dan pelajar daripada keluarga B40. – MOHD IMRAN IZZAD